Saturday 22 December 2012

Bahagia sebuah jiwa


Kebahagiaan itu adalah apabila kita mampu membahagiakan orang lain dengan menzahirkan senyum di bibir mereka meskipun hati dan jiwa kita terluka dan kecewa. Berkorban ertinya terkorban. Itulah yang dinamakan pengorbanan. :)
Biarlah kita disakiti dan dilukai. Jangan sesekali kita menyakiti dan melukai. Bergembiralah dengan perasaan sedih yang hadir. Kerana, kesedihan itu kadangkala boleh menjadi nikmat untuk kita syukuri.
Biarlah kita ikhlas. Hanya kerana-Nya. Bukan kerana manusia, bukan kerana harta dan lain-lain lagi. Tapi, hanya kerana Allah. Kerana kebahagiaan yang hakiki itu datang dari sekeping hati. Hati yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku. Hati yang sentiasa berzikir dalam setiap nadi hembusan nafas pinjaman-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang tenteram.” (Surah Al-Ra’d : 28)
Tingkatan Zikir Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyah :
-          Berzikir dengan lidah dan hati yang kedua-duanya merasai. Hati akan lebih lagi menikmati.
-          Berzikir dengan lidah dan hati tetapi kedua-duanya tidak merasai.
-          Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
-          Berzikir lidah sahaja, hatinya lalai.
Sama ada zikir kita pada tingkat pertama ataupun keempat, Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakannya, melainkan diberi pahala. Begitulah Allah s.w.t. menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita menghargai-Nya??

Monday 19 November 2012

Tatkala Istikharah Mengharap Petanda



Istikharah Perlu Difahami
Maksud Istikharah ialah kita meminta bantuan Allah dalam membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Menurut hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini  adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
Ketenangan Membuat Keputusan
Berdasarkan hadis di atas, kita memohon Allah memberikan kita yang terbaik semasa kita membuat pilihan terhadap sesuatu perkara. Kerana Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam setiap sesuatu kejadian. Yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tatkala kita masih ragu-ragu dengan pilihan yang ingin dibuat, laksanakanlah lagi solat tersebut. Tidak ada masalah untuk melakukannya berulang kali, sehingga kita beroleh ketenangan ketika membuat keputusan. Menurut al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.
Secara amnya, kita timbang tara setiap keputusan yang dibuat, dan untuk memudahkan kita menyakini keputusan yang ingin dilaksanakan, seelok-eloknya mintalah pandangan kepada mereka yang kita percaya dan mampu memberi pendapat dengan baik terhadap perkara tersebut. InsyaAllah, keputusan mana yang kita rasa terbaik, itulah yang kita ambil. Bukannya menanti petanda dan berkata “Allah telah menunjukkan bahawa itu yang perlu dilakukan”. Dikhuatiri syaitan yang memberi petanda yang kita harapkan, kerana pilihan yang kita inginkan selalunya yang menyalahi tuntutan iman kita.
Satu petikan dari artikel tersebut ialah Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri. Tatkala mana kita mengharapkan petanda adalah berharap Allah menunjukkan petanda yang sesuai dengan kemahuan kita. Bukannya berdasarkan timbang tara akal fikiran dalam melaksanakan sesuatu keputusan.
Istikharah Memohon Keredhannya
Setelah Solat Istikharah dilakukan, kita berharap keyakinan untuk melakukan keputusan tanpa perlu menanti petanda dariNya. Apa yang terjadi selepas itu pasti ada hikmah, samada berbentuk nikmat atau ujian. Bersangka baik sesuatu pilihan, selagi pilihan itu berada di jalanNya, dengan berlandaskan iman, bukan nafsu yang membuak-buak. Ubah mentaliti tentang mengharap mimpi datang, atau petanda berdasarkan keadaan, kerana kita yang membuat keputusan, dan tuhan yang menampakkan hasil di sebalik pilihan. Petunjuk itu memang ada, cuma jangan menantinya serta mengharapkannya, hindarinya, kerana syaitan berusaha mengambil kesempatan pada dalam kesempitan. Berhati-hati dengan pilihan kita, jika memudaratkan, penuh keburukan, jelas sekali, bukan dariNya, melainkan syaitan yang berusaha menyesatkan kita.
Apa sahaja pilihan yang dibuat, redha dengan ketentuannya. Kerana ketentuan itu adalah petunjuk dariNya juga. Firman Allah “..Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak” (Al-Baqarah : 216).

Wednesday 14 November 2012

kenapa hati perempuan ni kadang-kadang tiba tiba je rasa sedih


malam ni tiba-tiba rase sedih pulak.. Tapi, kenapa mesti berasa sedih pulak ? Ada yang tak kena ke ? muskil2.. hehe..




SOALAN:: 

"ustaz, kenapa ya hati perempuan ni kadang-kadang tiba tiba je rasa sedih tanpa sebab . ada orang kata syaitan yang ganggu ! ada petua tak untuk elak kan hati kita ni sedih ?
Kadang-kadang bila bangun pagi rasa sedih , kadang kadang rasa macam rindu , tapi tak tahu rindu pada siapa ?

Jawapan dari ustaz Idrus :
"PERKARA BIASA , HATI PEREMPUAN MEMANG HALUS , HANYA LELAKI SEJATI YANG MAMPU MENJADI PENAWAR"

Monday 22 October 2012

Mencari Kekuatan Diri

Kehidupan ini umpama arus deras yang sentiasa mengalir tanpa henti. Sebagaimana jiwa kita yang kadang-kadang kuat, kadang-kadang lemah begitu jugalah kehidupan kita; kadang-kadang kita cukup kuat untuk menongkah arus kehidupan yang serba ganas atau sekurang-kurangnya mampu bertahan dengan apa yang ada namun kadang-kadang ketika jiwa kita lemah tak bermaya maka kitapun tewas lalu hanyut dibawa arus. Amat menyedihkan bila kita tewas pada keadaan yang kita mampu mengembalikan kekuatan diri tetapi kita akur oleh kerana kekuatan yang ada tidak cukup kuat.



Apakah kelemahan dan kekuatan yang ada pada diri kita, bagaimana hendak cari kekuatan dalam diri kita dan bagaimana hendak ubah kelemahan menjadi kekuatan? Kita perlu tutup kelemahan untuk kita kekalkan kekuatan kita
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi bisikan syaitan yang mengajak untuk menjauhkan diri dariNya.
Mencari kekuatan diri untuk sentiasa istiqamah dalam beribadah kepadaNya.
Mencari kekuatan diri bagi merubah diri ini ke arah yang lebih baik.
Mencari kekuatan diri untuk terus bersemangat meneruskan kehidupan kita sebagai pelajar di institut ini.
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi cabaran hidup bersama kawan-kawan dan teman-teman, tanpa emak ayah di sisi memberikan panduan dan semangat.
Mencari kekuatan diri untuk berhadapan dengan hamba Allah di sekeliling kita yang punya bermacam-macam ragam.
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi hari ini dan hari seterusnya yang pasti akan ada dugaan menanti buat diri kita.
Mencari kekuatan diri bagi menjadi Syahiirah yang dulu dan digabungkan dengan Syahiirah yang sekarang.
Mencari kekuatan diri bagi menerima semua kenyataan yang cukup menyeksa jiwa ini.
Mencari kekuatan diri bagi menyedarkan diri ini bahawa diri ini tidaklah sempurna. Ada lompang sana sini dari semua segi.
Mencari kekuatan diri bagi menundukkan pandangan.
Mencari kekuatan diri untuk tidak berputus asa dalam pelajaran.
Mencari kekuatan diri bagi menyedarkan diri ini sudah besar, sudah dewasa dan tahu untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.
Mencari kekuatan diri untuk berdikari.
Mencari kekuatan diri untuk lebih berhati-hati dalam apa saja perkara yang kita lalui

Kekuatan amatlah penting dalam kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti sebagai satu umat. Oleh itu mereka dituntut untuk menyediakan dan mempersiapkan segala bentuk kekuatan untuk mendepani segala cabaran. Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” [ QS al-Anfal: 60 ]
Dalam mengharungi hidup yang serba mencabar, kita memerlukan kekuatan dalam diri untuk kita tempuhi sebarang perkara yang tidak kita duga hadir dalam berbagai emosi. Kadang-kadang emosi sedih datang secara tiba-tiba apabila kita teringat kembali masa lalu yang mengguris perasaan. Terasa lebih sayu bila kita tidak dapat berkongsi kesedihan yang dirasai dengan orang lain. Orang lain di sini, sama ada kawan baik kita yang boleh kita percayai atau mungkin ibu kita atau sesiapa saja yang boleh kita bercerita masalah kita kepadanya, yang boleh kita sandarkan dibahu mereka untuk kita letak sebentar beban yang kita tanggung. Mungkin mereka berada beribu-ribu batu jauhnya daripada kita atau mungkin ada sebab lain yang menyebabkan kita tidak dapat menghubungi mereka. Apa pun apabila melalui saat-saat sukar dalam kehidupan kita seorang diri ingatlah Allah sentiasa ada si sisi kita

Inilah perjalanan kita untuk capai impian kita. Sentiasa ada halangan. Semua kejayaan memang ada harga yang hendak dibayar. Hadiah atau kejayaan yang besar, harganya pun besar. Nabi pernah berkata nak masuk Syurga bukan senang. Kena lawan nafsu lawan kehendak, lawan kemalasan untuk melakukan ibadah. Kalau nak masuk neraka tak susah mana , jadi malas dan ikut nafsu sahaja.

Jadi untuk cari kekuatan diri, ilmu penting. Bukan sekadar ilmu sekolah tetapi ilmu penghayatan. Ada orang belajar dari penghayatan. Contoh dia lihat sesuatu benda yang ada depan mata dia. Bagaimana nak mencari kekuatan diri dan keluar dari masalah yang sering kali mengecewakan. Nabi pernah bersabda, kejarlah akhirat maka seluruh isi dunia akan ikut.Kekuatan yang tiada tolok banding lagi untuk kita bangkitkan potensi diri kita ialah memahami maksud Kejayaan Akhirat pastinya mendatangkan kejayaan masa hidup. Jalan yang mesti dilalui untuk menjana kekuatan diri. ‘Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu’ memberi isyarat betapa perlunya individu mencari sumber kekuatan dirinya.

Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah:

Pertama, mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah SWT. dan menjauhi segala larangan~Nya.

Kedua, menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya: La haulawala quwata illabillah

Ketiga, melengkapkan dengan ilmu terutamanya ilmu al-Qur’an, tafsir, hadis, tauhid dan sirah. Termasuk juga dalam sumber kekuatan ialah ilmu-ilmu yang membantu kita membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia.

Keempat, melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga kepada orang lain. Amalan soleh mempunyai makna yang luas merangkumi setiap perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan mendatangkan keredaan~Nya. walaupun berbudi kepada tanah atau belas kasihan kepada haiwan.

Kelima, tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa situasi.

Keenam, mencari sumber rezeki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain. Dengan mempunyai pendapatan dan pencarian hidup yang sendiri, seseorang itu dapat menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang lain. Semuanya itu bertentangan dengan sifat kekuatan yang dikehendaki oleh hadis ini. Mencari rezeki bererti menunaikan hak diri sendiri, ahli keluarga yang kita wajib menyediakan nafkah perbelanjaan untuk mereka. Dengan mempunyai harta kita dapat menunaikan hak-hak kehartaan seperti zakat, sedekah dan memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan iaitu al-qardh al-hasan. Selain itu, kita dapat menyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang maha kuat dan perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tidak kekuatan yang sebenarnya melainkan kekuatan~Nya.

Satu lagi amalan yang amat baik kita lakukan, yang sering kita tinggalkan ialah bangun untuk mendirikan solat subuh kerana waktu subuh adalah waktu yang amat payah kita lakukan kecuali mereka yang punya kekuatan yang tinggi, yang mampu menyertai malaikat siang dan malaikat malam yang sedang berkumpul. Hanya orang-orang kuat yang mampu solat subuh dalam susana hening dan penuh pengharapan, agar amalnya dilapurkan para malaikat itu ke langit dalam khabar yang menggembirakan. Tentu, Allah Maha tahu apa yang terjadi pada-hamba-Nya. Di waktu subuh yang dingin itu ada perjumpaan denganpara malaikat. Di sini kita bersama-sama dengan malaikat. Tiada hari yang lebih menyenangkan, melebihi hari di mana kita bersama-sama dengan malaikat, memohon keampunan dan memohon kekuatan dari Allah SWT.

Sumber kekuatan harian itu bermula dari sini. Waktu subuh itu satu-satunya waktu yang kita uruskan untuk bertarung menempuhi kehidupan ini bakal mengharungi keseluruhan harian. Dan setiap hari pula kita memasuki dunia baru, hidup baru, masalah baru, suasana baru, dan tentangan baru. Maka setiap hari kita perlu kekuatan baru, kesegaran baru, semangat baru untuk mengawali segala tentangan yang baru. Sumber kekuatan harian itu dimulai dari sini. Di solat subuh yang amat bening bagi menjana seleluruh kekuatan diri. Perlawanan terbesar dalam hidup dimulai dari sini. Dari perlawanan kita terhadap diri sendiri di subuh yang dingin dan menenggelamkan. Setelah itu segalanya menjadi mudah.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan umat Islam khususnya Malaysia, sebagai negara yang maju dan sejahtera. Jesteru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkatWahai Tuhanku Yang Esa. Ampunilah hambamu. Berikanlah ku kekuatan. Mengharungi ujian dan cabaran dalam hidup ini. Ku pohon restu hidayah dariMu. Rahmatilah hidup ku, berikanlah kekuatan buat ku. Terimalah taubat ku, terlalu banyak dosa dan noda yang pernah terpalit dalam kamus hidupku. Aku tidak mampu menanggung dosa silam yang sentiasa menghantui diri ini. Justeru, hapuskanlah segala dosa ku, agar aku dapat menjalani kehidupan ini dengan seadanya. Sesungguhnya deruan ombak yang menghempas pantai, bergelora dipukul badai suatu tamsilan kehidupan ku ini. Tetapi ibarat himpunan buih di tepian, ia tidak akan berkekalan akan terburai jua buih itu akhirnya Begitulah kehidupan ku. Berikanlah kekuatan. Ya, kekuatan untuk mengharungi hidup ini. Aku rindu pada MU Allah.

Sunday 21 October 2012

Aku Hanya Wanita Biasa


Aku Hanya Wanita Biasa,
Tampak Sempurna Di Luarannya,
Namun Hakikat Masih Memerlukan Seseorang,
Untuk Menyempurnakan Kehidupanku..

Dan Buat Adam Yang Bakal Menjadi Pendampingku Kelak,
Ketahuilah Bahawasanya,
Aku Takkan Selamanya Nampak Muda Dan Menarik,
Kerana Waktu Bakal Memamah Usia,
Tua itu pasti menjangkau tiba..

Buat dia bakal menjadi raja di hati,
Aku Hanya Wanita Biasa,
Kadangkala Ada Waktu,
Saat kerja menghambat waktu,
Aku mungkin terlalai seketika,
Maafkanlah aku,
Apabila aku alpa dengan duniawi,
Maka tegur dan bimbinglah aku..

Buat Dia Bakal Imamku,
Aku Hanya Wanita Biasa,
Aku Mohon Sokongan dan Bimbingan,
Aku Mohon Pemahaman dan Pengertian,
Aku Mohon Kasih Sayang Tidak Berpenghujung,
Aku Mohon Kekuatan Meneruskan Liku-Liku Kehidupan,
Bimbinglah Aku, Ajarlah Aku..

Fahamkan Aku Supaya Aku Tahu,
Redhakanlah Hatimu Menerima Segala Kekuranganku,
Kerana Aku Hanya Wanita Biasa..

Thursday 11 October 2012

Sakit Menghapuskan Dosa-dosa Kecil



Sebenarnya sakit neh pon salah satu nikmat.
Janganlah kita mencela atau merungut bila kita sakit.
Sakit menghapuskan dosa-dosa kecil kita ye kawan-kawan. 


"Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya."
(HR Bukhari-Muslim) 


Semua orang pon pernah sakit, kan kan kan. Rasulullah sendiri pon pernah sakit. Tapi, Rasulullah mengharunginya dengan sabar dan tabah. Beliau mengatakan kepada Ibnu Mas’ud ra, bahawa, 


"Penyakit yang datang ke dalam tubuh seorang Muslim itu dapat menggugurkan dosa sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya." 


Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda,


"Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu."
   

Seeloknya kurangkanlah makan ubat neh.
Sebab ubat neh banyak bahan kimia.
Kadang-kadang boleh memberi kesan buruk.
Makan banyak sangat ubat boleh menyebabkan sakit kepala.
Banyakkan minum air masak supaya tak terhidrat.
InsyaAllah baiklah nanti sakitnya.


Setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmahnya.
Sakit pun ada hikmahnya.
Banyak hikmah sakit neh.
Tekan sini untuk baca.
Panjang sangat tak larat aku nak menulis.


Sakit apa pun kita jangan tinggalkan solat.
Kalau tak larat nak bangun, bukan alasan tak boleh solat.
Macam-macam cara ada untuk solat.
Ingat! Solat itu adalah wajib! ^_^


Tuesday 9 October 2012

Demi Cinta Untuk Allah



Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada perintah-Nya, dan sentiasa jaga batas pergaulan.
Dia yakin dan percaya, perempuan yang dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan mana-mana tangan lelaki menyentuh dirinya.
Namun, takala dia merasakan dirinya cukup bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta.
Dirinya dimewahkan dengan kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan jiwanya.
Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa itu bukan caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya dilimpahi rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan cinta manusia.
Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauhi. Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata cinta si jejaka.
Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya rapuh, syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang sepatutnya dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah suaminya.
Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan azab Allah?. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu mulai melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang padanya.
Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus cinta, dia masih lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak sempurna lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta manusia.
Allamdullilah. Allah menurunkan hidayah pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya dilanda rasa berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat.
Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon petunjuk pada Allah, dia ingin kembali, kembali atas cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dia nekad untuk berubah. Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.
“Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya.”
Apa yang patut dia lakukan kini. Dia mula merasakan dia bukan dari kalangan wanita yang baik-baik. Tidak layak untuk sesiapa.
Dia menutup pintu hatinya seketika dari cinta manusia yang bernafsu yang mengeruhkan kolam keimanannya yang pasang surut. Sehingga ditakdirkan Allah untuk dirinya bertemu dengan seseorang yang mencintainya kerana Allah.
“Demi cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasa-Mu, hulurkan pertolongan-Mu di saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayah-Mu untuk aku terus di jalan-Mu. Ya Allah! Aku memohon keampunan kepada-Mu.”

Saturday 22 September 2012

Bersahabat sampai ke syurga




Ikhlas Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Syura ayat 23 yang bermaksud: “Itulah yang Allah gembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu untuk ajaran Islam yang aku sampaikan itu, melainkan kasih mesra disebabkan pertalian kerabat. Dan sesiapa mengerjakan sesuatu yang baik, Kami tambahkan kebaikan baginya kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”


Tidak Bersangka Buruk Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang, dan jangan setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertawakal kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”



Saling Menasihati Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 114 yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah,atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah maka Kami akan member pahala yang besar.”



Sentiasa Memaafkan Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa ayat 148 yang bermaksud: "Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau sembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, lagi Maha Kuasa.”



Menjaga Suara Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”



Amal Makruf Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mendirikan sembahyang dan member zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”



Jujur Dalam Persahabatan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 119 yang bermaksud: “Allah berfirman: Inilah hari padanya orang yang benar mendapat manfaat daripada kebenaran mereka, mereka  beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Itulah kejayaan amat besar.”

Friday 21 September 2012

Lelaki soleh idaman wanita



Tatkala seorang jejaka memandang cermin, apa yang selalu difikirkan adalah "handsome kah aku?", "adakah otot-otot aku semantap Arnold Schwarzenegger?" dan seumpamanya.
Apa kata selepas ini, kita bertanyakan soalan berikut ketika memandang cermin :
1. Adakah aku sentiasa taat kepada Allah dan Rasullulah?
2. Adakah jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidup aku?                          
3. Adakah mati syahid adalah cita-cita hidup tertinggi aku?
4. Selama ini, adakah aku sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada Allah?
5. Ikhlaskah aku dalam beramal?
6. Adakah kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupku?
7. Takutkah aku kepada ujian Allah dan ancaman-Nya?
8. Adakah aku selalu memohon ampun atas segala dosa-dosaku?
9. Adakah aku zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya?
10. Adakah solat malam menjadi kebiasaanku?
11. Adakah aku bertawakal kepada Allah atau aku kerap mengeluh?
12. Adakah aku kerap memberikan infaq di waktu senang mahupun sempit?
13. Berusahakah aku untuk menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah di antara mereka?
14. Kuatkah aku amar maaruf dan nahi munkar?
15. Adakah aku sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan?
16. Adakah aku seorang pemaaf?
Andai jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah positif belaka, maka anda memiliki ciri-ciri lelaki soleh idaman wanita!  ^_^

Amalan sedekah bawa keberkatan


SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.
Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.
Sebagai hamba Allah yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.
Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.
Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.
Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah, maka keburukanlah yang diterima.
Jika mereka bertawakal kepada Allah maka Allah pasti mencukupkan keperluannya. Allah berfirman yang bermaksud:
“Barang siapa yang me nyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesung guhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).
Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.
Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese orang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).
Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempu nyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .
Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.
Jika Allah ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.
Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.
Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah:
“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).
Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.
Rasulullah bersabda:
“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).
Allah berfirman:
“Orang-orang yang menaf kahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak me nyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).
Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.
Rasulullah berbual dengan sahabat, maksudnya:
“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.
Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).
Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.
Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).
Bersedekah boleh meringan kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah bersabda:
“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.
Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.
Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.
Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah berfirman yang bermaksud:
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).
Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.
“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.
“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).
“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.
Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.
“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.
“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.
Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.
“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”
“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.